Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia dan tidak ada pula Tuhan yang disembah dengan hak selain Dia, Tuhan para nabi: Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad, penutup para nabi, semoga selawat dan salam selalu terlimpah kepada mereka semuanya.

Wahai orang-orang yang masih dalam kekafiran, yang berakal baik lelaki atau perempuan! Kepada kamu aku tujukan seruan ini - Seruan Menuju Keselamatan dan Kebahagiaan. Aku katakan di sini: "Selamatkanlah diri kamu daripada azab Allah Yang Maha Tinggi - Azab yang akan datang setelah engkau mati kemudian diletakkan dalam kubur dan azab yang menunggu di neraka Jahannam.

Selamatkan diri kamu dengan beriman kepada Allah sebagai Rabb, Muhammad sebagai Rasul dan Islam sebagai pedoman hidup. Katakan dengan penuh kejujuran: "Laa ilaaha illallah MuhammadurRasulullah". Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan Allah.

Kemudian solatlah lima waktu, tunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram jika engkau mampu. Umumkanlah keislaman kamu kepada Allah, sesungguhnya tidak ada keselamatan bagi kamu dan juga tidak ada kebahagiaan kecuali dengan itu.

Sesungguhnya aku (Razali bin Zakaria) bersumpah untuk kamu dengan nama Allah Yang Maha Agung yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, bahawa Islam ini adalah agama yang haq, Allah tidak menerima agama daripada seorang pun selain agama-Nya, dan aku persaksikan kepada Allah, Malaikat dan seluruh makhluk bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan utusan Allah, dan sesungguhnya Islam adalah agama yang benar serta aku termasuk orang yang menyerahkan diri kepada Allah. Aku bermohon kepada Allah Taala dengan nikmatnya dan kemuliannya agar mematikan aku sebagai orang Islam yang sebenarnya. Demikian juga keturunanku dan seluruh saudaraku kaum muslimin, dan agar mengumpulkan kita di syurga Na’im bersama Nabi kita Muhammad yang jujur lagi dipercayai, dan seluruh para Nabi, keluarga Nabi kita dan para sahabatnya.

Ketahuilah! Bukankan sudah aku sampaikan? "Ya Allah! saksikan." Semoga selawat dan salam tercurah kepada Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat baginda dan segala puji bagi Rabb pemelihara sekalian alam.

counter

Friday, January 2, 2015

KISAH 12 RABIULAWAL YANG TIDAK BOLEH KITA LUPAKAN



Makam Rasulullah SAW di bawah kubah hijau


     Segala puji hanyalah bagi Allah. Kita memuji dan memohon pertolongan serta ampunan-Nya. Kita bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan rasul Allah - Khalil dan yang terbaik di antara makhluk-Nya. Allah mengutusnya menjelang datangnya Hari Kiamat sebagai pemberi peringatan dan pembawa kabar gembira, juga sebagai penyeru kepada jalan Allah serta pelita yang menyinari. Maka Baginda menunjukkan seluruh kebaikan kepada umatnya, serta memberi peringatan daripada segala keburukan. Semoga selawat dan salam serta keberkahan tercurah kepada Baginda dan juga keluarganya, sahabat-sahabatnya, dan orang-orang yang menempuh jalannya dan mengikuti petunjuknya sampai Hari Kiamat.

     Esok 12 Rabiulawal. Apa ada pada tarikh itu? Apa yang berlaku sekarang kesan daripada hebahan umum, umat Islam di Malaysia lebih mengetahui bahawa pada tarikh itu adalah 'public holiday'. Kenapa cuti umum? Jawapan mereka sebab ada sambutan Maulidur Rasul. Jawapan tepat ialah kerana 12 Rabiulawal adalah tarikh lahirnya seorang insan yang menerangi kegelapan seluruh manusia - Muhammad SAW. Yang ditanam ke dalam sanubari kita sekarang ialah 'public holiday'; maulidur Rasul dan tarikh kelahiran Rasulullah SAW. Tidakkah kita ketahui pada tarikh itu juga adalah hari kewafatan Baginda?

     Pada pagi 12 Rabiulawal di Madinah, umat Islam pada waktu itu mengelilingi rumah Baginda SAW. Pada usia 63 tahun, Baginda dalam keletihan namun masih mampu berkhutbah kepada sahabat2 Baginda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah." Daripada Abu Hurairah, riwayat Imam Malik.

     Ingat semula apa kata Baginda di Lembah Wadi di Padang Arafah! Khutbah terakhir Baginda dan kemudian selepas selesai ucapannya turunlah ayat 3 surah Al-Maidah yang bermaksud:
"...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..." (Al-Maidah ayat 3)

     Sebaik mendengar lantunan ayat daripada Baginda, Umar Al Khattab, terus menangis dan ada sahabat yang bertanyanya lalu dijawabnya: "Sesungguhnya sesuatu yang telah sempurna, berikutnya akan berkurangan."

     Perpisahan dengan Baginda sudah semakin hampir. Ramadan tahun 10 Hijrah, baginda SAW melakukan iktikaf selama 20 hari sedangkan pada tahun-tahun sebelumnya baginda iktikaf 10 hari. Malaikat Jibril pula mengajar al-Quran kepada Baginda dua kali sedangkan sebelum ini hanya sekali.

    Pada bulan Safar 11 Hijrah, baginda menuju Bukit Uhud dan mendoakan Syuhada Uhud. Kemudian baginda naik ke mimbar dan berkhutbah: "Aku akan mendahului kamu, aku akan menjadi saksi bagi kamu. Sungguh sekarang aku telah melihat telagaku dan sungguh aku telah diberikan kunci-kunci bumi dan simpanannya, sungguh aku tidak takut kamu berlaku syirik setelahku, akan tetapi yang aku takutkan adalah kamu saling berlumba-lumba mengejar dunia."

     29 Safar 11 Hijrah hari Isnin baginda mula sakit kuat. Menderita kesakitan selama 13 atau 14 hari namun masih sempat menjadi imam solat lebih kurang 11 hari.

Minggu Terakhir
     Sakit Baginda SAW kian parah. Nabi bertanya kepada isteri2nya: "Di mana giliran aku esok, di mana giliran aku esok?". Isteri2 Baginda faham dan mengizinkan Nabi membuat pilihan. Rasulullah SAW memilih rumah Aisyah.

Lima Hari Terakhir
     Panas badan Baginda bertambah. Baginda minta disirami air dan apabila terasa segar Baginda menggagahkan diri masuk ke masjid dan berkhutbah: "Laknat Allah terhadap orang Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kuburan para nabi mereka sebagai masjid. Jangan kamu menjadikan kuburku sebagai berhala yang disembah".
Kemudian baginda meminta kepada hadiri untuk membalas apa yang pernah baginda lakukan kepada mereka.

Empat Hari Terakhir
     Khamis - kesakitan semakin terasa dan baginda memanggil sahabat2: "Mari berkumpul, akan aku tuliskan wasiat untuk kami agar kamu tidak sesat setelah itu".

Sehari Terakhir
     Ahad - Baginda memerdekakan budaknya. Bersedekah 9 dinar yang ada padanya, senjatanya dihadiahkan kepada muslimin. Pada waktu malam, Aisyah meminjam minyak daripada jirannya untuk memasang lampu. Baju besi baginda digadaikan untuk mendapatkan gandum.

Hari terakhir.
     Isnin - ketika kaum Muslimin mengerjakan solat Subuh diimami Abu Bakar, Rasulullah SAW membuka tingkap rumah melihat mereka sambil Baginda senyum sebelum menutup tingkap rumahnya. Waktu Dhuha tiba. Rasulullah memanggil Fatimah lalu berbisik kepadanya. Fatimah menangis. Kemudian Baginda berbisik lagi, kali ini Fatimah tersenyum. (Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Aisyah bertanya kepada Fatimah mengenai hal ini, maka Fatimah menyatakan:   "Rasulullah SAW berbisik kepadaku bahawa dia akan meninggal kerana sakit yang dideritainya, maka aku menangis, kemudian dia berbisik menyatakan akulah dari keluarganya yang pertama yang akan menyusulnya, maka aku pun tersenyum.")
     Rasulullah SAW juga memberitahu hal gembira kepada Fatimah bahawa dia adalah pemimpin wanita di alam ini.
     Fatimah menyaksikan dengan sedih penderitaan yang dialami bapanya dan dia mengucapkan:      "Betapa menderitanya engkau wahai bapaku." Baginda menjawab: Tidak ada lagi penderitaan bapamu setelah hari ini."
     Kemudian BAginda memanggil cucunya, Hassan dan Hussein dan mencium keduanya lalu berwasiat kepada mereka. Kemudian Baginda memanggil isteri2nya dan berpesan kepada mereka. Sakit Baginda kiat teruk, tetapi Baginda tidak lupa berwasiat kepada kaum muslimin: "Solat, solat dan perhatikan budak-budak yang kamu miliki." Diulanginya beberapa kali.

Sakratulmaut
     Rasulullah SAW berada di pangkuan Aisyah. Adik Aisyah - Abdulrahman - datang membawa siwak. Rasulullah SAW mengangguk kepalanya tanda setuju. Lalu digosokkan siwak itu ke mulut Baginda. Di hadapan Baginda ada bekas berisi air, lalu mencelupkan tangan Baginda dan menyapu air ke mukanya sambil menyebut: "Laa Ilaaha Illallah, sesungguhnya setiap kematian ada sakaratnya." Baginda kemudian mengangkat tangan dan matanya memandang ke langit, bibirnya bergerak-gerak, Aisyah berusaha mendengar ucapannya: "Bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu: Nabi-nabi, para solihin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah kurniaan dari Allah dan Allah amat mengetahui." (An-Nisaa ayat 69-70)
     "Ya Allah, ampuni dan kasihanilah aku, pertemukan aku dengan teman2 yang tinggi (kedudukannya), ya Allah pertemukan aku dengan teman-teman (yang tinggi kedudukannya). Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian tangannya jatuh dan akhirnya nyawa pun terpisah dari badan.
     Peristiwa itu berlaku pada waktu Dhuha, hari Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah, tepat pada usia baginda 63 tahun, empat hari.

Madinah 'mendung'
     Berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar ke seluruh Madinah. Anas bin Malek berkata: "Tidak pernah aku melihat hari yang lebih bersinar terang kecuali ketika Rasulullah datang ke negeri kami dan tidak pernah kami melihat hari yang lebih kelam dan gelap kecuali hari wafatnya Rasulullah SAW."
     Fatimah pula berkata: "Wahai bapaku, engkau telah memenuhi panggilan Rabbmu. Wahai bapaku, syurga Firdaus tempatmu, wahai bapaku, kepada Jibril kami khabarkan kematianmu."

Kecintaan sahabat terhadap Baginda
     Mengetahui kewafatan Rasulullah SAW, Umar terlalu emosi dan sedih hingga beliau berkata: "Orang-orang munafik mengatakan bahawa Rasulullah SAW wafat. Rasulullah SAW tidak wafat, dia hanya pergi menemui Tuhannya, sebagaimana Musa bin Imran meninggalkan kaumnya selama 40 hari lalu kembali setelah diberitahu bahawa dia telah mati. Demi Allah siapa yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mati akan aku potong tangan dan kakinya."
     Namun, Abu Bakar lebih bersikap rasional. Mendapat khabar kewafatan Rasulullah SAW, beliau ke rumah Aisyah dan menuju kamar Rasulullah, membuka penutup kain dan mencium Baginda SW sambil menangis. Abu Bakar keluar dan menemui Umar yang masih bercakap dengan muslimin.  
     "Duduklah wahai Umar." kata Abu Bakar, tetapi Umar enggan. Abu Bakar kemudian menemui orang ramai dan berkata: "Siapa di antara kamu yang menyembah Muhammad SAW, sesungguhnya Muhammad telah meninggal. Dan siapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati."
     Abu Bakar kemudian membacakan firman Allah ayat 144 surah Ali Imran yang bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling menjadi kafir)? Dan (Ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."
     Ibnu Abbas berkata: "Demi Allah, seolah-olah orang-orang tidak pernah berasa Allah menurunkan ayat itu kecuali setelah Abu Bakar membacakannya ketika itu. Ketika itu, semua orang menerima ayat berkenaan sehingga tidak ada orang yang diperdengarkan ayat tu kecuali dia membacanya."
Umar kemudian berkata: "Demi Allah, aku tidak pernah menyedarinya sehingga Abu Bakar membacanya. Aku terpaku, kedua kakiku terasa lemah sehingga aku jatuh manakala dia membacanya. Ketika itu aku baru sedar Rasulullah SAW telah meninggal."

Jenazah diurus
     Selasa, 13 Rabiulawal, jenazah Rasulullah SAW dimandikan tanpa melepaskan kainya. Yang memandikannya ialah Abbas dan menantu Baginda, Ali dibantu dua anak Abbas - Fadhl dan Qatstam serta Syaqran, Usamah bin Zaid dan Aus bin Khauli.
     Kemudian mereka mengkafaninya, tetapi berselisih pendapat mengenai tempat untuk dimakamkan. Hingga Abu Bakar berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa tidaklah seorang nabi meninggal, kecuali dia dikubur di tempat dia meninggal."
     Maka, Abu Talhah mengangkat tempat Rasulullah SAW menghembuskan nafas terakhir, menggali lubang dan membuat liang lahat di dalamnya. Kemudian, jenazah baginda disolatkan sebelum dimakamkan.

Demikian serba ringkas yang dapat saya sampaikan dalam tulisan kali ini.

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab ayat 21)

Firman Allah Taala, maksudnya: ".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).

Assalammualaikum
Bahtsun fi as-Sirah an-Nabawiyah 'ala Shahibiha Afdholushshalati wa as-Salami
Terbitan Al-Maktabah at-Tadmuriah, al-Mamlakah al-Arabiah as-Su'udiyah

No comments:

Post a Comment